Thursday, July 26, 2012

~AKU PUNYA ANAK YANG SOLEH~


Assalam alaik.
Tanya sama awan, mengapa kau mendung hari ini. Awan kata, “Aku ikut perintah Tuhanku”. Tanya sama matahari, mengapa kau memancar ganas dan liar hari ini. Matahari kata, “Aku ikut perintah Tuhanku”. Tanya sama hujan, bila kau mahu turun. Hujan kata “ Aku ikut perintah Tuhanku”
Allahurabbi.


Sudah kita berbicara tentang semua yang indah sementara. Tika mana aku membaca kembali apa yang ku repekkan itu, kedua-duanya membawa mesej yang saling bersangkutan. Persediaan menghadapi mati dan bekalan di sana. Kemudian aku duduk terbaring sayu di atas tilam yang empuk lagi permai dan berfikir sejenak. Risau. Bukan pasal diriku. Yang ku risaukan lebih adalah kedua orang tua ku.


Jujur ku katakan ku bukan anak yang soleh lagi baik. ku risau bila teringatkan bonda dan ayahanda ku. Adakah ku cukup baik untuk menjadi asset buat mereka kelak? Atau ku akan menjadi liability yang bakal menyekat mereka di titian nanti?

Sedih. ku sedih. Terus terang ku katakan, ibu dan ayah ku bukanlah malaikat. Hamba Allah yang biasa-biasa sahaja dan tidak lari daripada melakukan dosa. Sama seperti ku. Bumi mana yang tidak ditimpa hujan? 

Kemudian ku fikirkan lagi. Bagaimana boleh ku bantu mereka. Memang, kita tidak tahu siapa yang pergi dahulu, mungkin ku yang lebih awal, namun sudah pasti sebagai seorang anak kita ingin berbakti kepada orang tua kita. Setiap orang ada sejarah tersendiri. Ku tidak mahu sejarah itu menggelapkan kehidupan alam barzakh mereka berdua. Ku yakin dalam kalangan kita yang mendapat sentuhan tarbiyyah pasti memikirkan hal ini.

Ku tidak tahu sama ada ayah dan ibu ku punyai kefahaman yang sama. Apakah mereka mengerti tujuan hidup yang sebenar. Adakah mereka punyai fikrah ini. Ku lihat keduanya makin hari makin layu, dimamah usia. Namun kadangkala teguran antara satu tidak dijawab dgn pemahaman, namun beralih kpd pertengkaran. Ku sedih. 

Bila ku baca dan renungi ayat ini, sedih ku bertambah-tambah;
Harta dan anak-anak adalah perhiasan kehidupan dunia tetapi amal kebajikan yang terus-menerus adalah lebih baik pahalanya di sisi Tuhanmu serta lebih baik untuk dijadikan harapan
(Al-Kahf : 46)


Jika diikutkan hati hendak sahaja ku pohon keduanya berhenti. “ Wahai ayah, cukup la dahulu. Wahai ibu, berhenti la sebentar”
Tapi ku tiada upaya. Tatkala rumah lain riuh dengan gurau senda tp rumahku riuh dengan amarah dan pertelingkahan aku hanya membisu seribu bahasa. Ayahku hanya menggeleng kepala. Jika diikutkan hati lagi, hendak juga ku usrahkan keduanya. walaupun ilmuku tak setinggi mana. Bincang mengenai semuanya. Bawa mereka pergi daurah. Ikut sama-sama berusrah. Mendaki gunung, panjat bukit,taddabur alam. Tapi sekali lagi ku tiada upaya.

Berat rasanya untuk kuteruskan karangan ini..
Lemahnya aku ya Tuhanku. Aku hanya mampu berdoa. Malulah wahai diri. Doa sahaja yang mampu kau utuskan. Dan belum tentu doa kau itu dimakbul Tuhan. Arghh, drama bermain dalam minda. Tertusuk juga.

Ku yakin ada cara lain. Ada cara yang boleh ku gunakan untuk membantu mereka. Dan ku sedang usahakannya.
Sudah dua puluh dua tahun berpijak di bumi Tuhan ini. Sudah dua puluh dua tahun keduanya menabur bakti kepada ku. Dan sudah dua puluh dua tahun  waktu ku bazirkan. Ku tidak tahu, dalam tempoh dua puluh dua tahun yang lampau, adakah mana-mana part atau portion yang mampu menghantar ayah dan ibu ke syurga. Ku tidak tahu dan ku malu sendiri. 

Cukuplah dua puluh dua  tahun yang sia-sia.
Ku ingin tsabit dijalan ini. Moga apa yang ku lakukan atas jalan ini menjadi hujah kepada ibu dan ayah ku agar mereka bisa berkata,
“Aku punya anak yang soleh”

No comments:

Post a Comment